Cerpen Kakak dan Kelisa

Kakak menggosok Kelisa yang dibasahi air sabun dengan perlahan-lahan. Sudah sebulan kakak tidak mandikan Kelisa. Kasihan Kelisa. Comot seluruh badannya. Kakak terus menggosok kelisa kesayangan yang banyak tersimpan kenangan indah dalam hidupnya.

Kakak masih ingat peristiwa ketika hari pertama dia mendapat lesen memandu. Abah menghadiahkan Kakak sebuah kereta Kelisa. Gembiranya hati Kakak kerana hasrat mahu memiliki kereta sendiri akhirnya termakbul jua. Yang peliknya, walaupun sudah memiliki kereta sendiri, Kakak masih takut untuk memandunya. Dan, yang pasti Kakak hanya akan memandu tanpa membawa  penumpang yang lain di dalam Kelisa kesayangannya. Bukan apa, walaupun sudah lulus ujian memandu, Kakak masih belum yakin mahu membawa penumpang lain bersama-sama dengannya. Kakak takut tidak mampu mengawal pemanduannya. Kakak juga takut, jika ada orang di sebelah yang bersuara, menegur atau memberikan nasihat tentang cara pemanduan yang baik, Kakak pasti hilang pertimbangan dalam pemanduannya kelak. Bukan kakak tidak boleh terima teguran, cuma Kakak belum boleh menerimanya lagi.

Suatu hari, Kakak membawa Kelisa masuk ke kawasan bandar. Suasana di bandar berbeza dengan kawasan perumahan Kakak. Dan, perkara yang membuatkan Kakak cuak memandu di kawasan bandar adalah lampu isyarat yang terlalu banyak di jalan raya. Lampu isyarat merupakan ketakutan Kakak yang paling ketara. Jika Kelisa berhenti di lampu isyarat, pasti Kelisa yang dipandu Kakak akan mati enjinnya secara tiba-tiba. Yang pasti, Kakak akan sukar untuk bergerak dari lampu isyarat. Berkali-kali Kakak cuba beredar, tetapi tetap juga gagal. Kadang-kadang, dua tiga kali lampu isyarat bertukar hijau, barulah Kakak boleh beredar dari situ. Banyak kereta di belakang yang marah dengan Kakak. Pasti kata mereka, “Hum, perempuan. Biasalah. Selalu macam tu”. Kakak hanya berdiam di dalam kereta dan tidak memandang pun pemandu lain di sebelah yang mula angkat tangan pada Kakak. Perli atau simpati, Kakak sukar untuk menduganya. Di dalam Kelisa, Kakak hanya terus berusaha memasukkan gear dan cuba meninggalkan lampu isyarat dengan segera.

___

Cerpen ini dipetik daripada Tunas Cipta, Mac 2015

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *