Warga Melayu Warga Maritim

BANYAK pihak yang beranggapan sejarah maritim Melayu bermula pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka, iaitu sekitar abad ke-15. Namun hakikatnya sejarah maritim ini telah wujud sejam Zaman Neolitik lagi, kira-kira 3000 tahun sebelum Masihi. Ketika ahli pelayaran asing datang meneroka alam Melayu, telah wujud masyarakat pesisir yang mendiami kawasan pantai atau berhampiran dengan laut. Oleh sebab faktor keluasan laut kepulauan Nusantara ini melebihi wilayah daratnya, maka dapat dikatakan bahawa asas pembinaan peradaban Melayu berteraskan masyarakat pesisir. Buktinya, kerajaan Melayu yang awal terletak di pesisir laut. Para pelayar yang singgah di wilayah ini (pesisir pantai), secara langsung telah memusatkan aktiviti harian manusia yang akhirnya mewujudkan kerajaan Melayu awal seperti Inderapura, Patani, Palembang dan Sriwijaya.
Kemunculan kerajaan di pesisiran pantai menjadikan warga alam Melayu sebagai warga pelaut dan pelayar yang mahir. Laut mengajar orang Melayu bergerak untuk menguasai kemahiran pelayaran dan selok-belok kehidupan di laut. Kemahiran itu termasuklah menguasai dan memahami sistem peredaran monsun yang berkaitan tiupan angin memandangkan pelayaran ketika itu amat bergantung padanya. Teks klasik India pernah merakamkan beberapa siri pelayaran pelaut Nusantara ke India sama ada untuk tujuan perdagangan mahupun diplomatik. Dalam teks Jataka umpamanya, dirakamkan pelayaran pedagang Nusantara ke Bharukachchha, India. Manakala dalam teks sastera Sanskrit, Kathasaritsagara ada dinyatakan kunjungan empat orang pedagang muda dari Kataha (Kedah) ke India. Begitu juga halnya, kehebatan pelayar Melayu, dilukiskan melalui watak Panglima Awang dalam novel Panglima Awang karya Harun Aminurrashid. Panglima Awang dikatakan sebagai manusia pertama yang mengelilingi dunia, bukannya Ferdinand de Magellan. Kejayaan ini tidak mustahil terjadi kepada orang Melayu kerana mereka merupakan sebahagian daripada warga maritim sejak dahulu lagi dan telah sebati dengan kehidupan yang bergelumang dalam dunia kelautan.
Namun sebaliknya pihak Barat mendakwa bahawa merekalah orang pertama yang berjaya mengelilingi dunia dan tanggapan ini diwariskan secara turun-temurun kepada orang Melayu sendiri. Banyak orang Melayu tidak menyedari akan kejayaan dan kehebatan orang Melayu seperti Panglima Awang kerana fakta ini amat kurang ditonjolkan kepada masyarakat. Oleh yang demikian, kajian tentang maritim Melayu ini amat wajar diketengahkan kerana masyarakat Melayu dahulu sebenarnya mempunyai sejarah perkembangan kerajaan maritim yang amat hebat. Warga maritim inilah yang memainkan peranan yang signifikan dalam melakar asas pembinaan tamadun Melayu sepanjang sejarah bangsanya.
– KHAIRUL ANUM MOHD. ALI

Rencana ini dipetik daripada Tunas Cipta April 2015.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *