Pantun Melayu Jambatan antara Era Dahulu dengan Kini

Pantun laksana batu permata yang indah dari zaman silam yang terus bersinar hingga hari ini. Tidak hairanlah jika pantun diangkat sebagai karya agung Melayu kerana puisi tradisional tersebut amat istimewa dan menjadi kebanggaan dari zaman ke zaman. Walaupun masa berlalu, keindahan pantun tetap terserlah. Keindahan atau estetika itulah yang membuatkan pantun terus diminati hingga hari ini.

Penggunaan pantun begitu meluas dalam masyarakat tradisi dan diserapkan hampir dalam keseluruhan aspek kehidupan masyarakat dahulu. Pantun dianggap sebagai alat komunikasi antara anggota masyarakat. Fungsi dan penyebarannya secara langsung dapat dilihat dalam aktiviti yang berkaitan dengan kesenian dan kebudayaan.

Menurut Muhammad Haji Salleh dalam Puitika Sastera Melayu, estetika jelas menjadi sebahagian daripada pemikiran orang Melayu. Melalui pantun, orang Melayu menyampaikan pengetahuan, pengajaran, sindiran, kiasan, rasa hati, perasaan dan hiburan dengan cara yang berkesan. Penyampaiannya menggunakan kata yang sesuai dan diiringi oleh rima yang menarik dapat membawa makna yang amat mendalam kepada pendengar. Pengalaman, pengetahuan serta kemahiran yang sedia tersemat dalam diri diterjemahkan dalam ungkapan pantun yang indah didengar serta kaya dengan nilai estetikanya. Pantun juga dapat dianggap sebagai pernyataan tradisi budaya di samping menonjolkan kemantapan daya kekreatifan dan pemikiran masyarakatnya.

Hakikatnya, pantun menggambarkan khazanah bangsa Melayu yang terungkap melalui pemilihan lambang bahasa yang unik dan secara tidak langsung mempamerkan ketinggian serta kehalusan budaya masyarakat Melayu. Walaupun kita berada pada era globalisasi, komunikasi dan teknologi maklumat, puisi tradisional perlu diperluas dan dilestarikan agar terus hidup dan diminati dari generasi ke generasi. Mengenal keindahan yang terdapat pada pantun membuatkan kita akan lebih menghargai sumbangan seniman yang menghasilkannya ratusan tahun yang lampau.

Dipetik daripada Tunas Cipta Disember 2015

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *