Tahap Kecenderungan Latiff Mohidin dalam Genre Puisi dan Seni Tampak

Oleh: Sakinah Abu Bakar

Latiff Mohidin merupakan tokoh yang sangat dikenali dalam dunia seni lukis Malaysia dan dalam bidang sastera khususnya puisi. Keistimewaannya terletak pada kebolehan menguasai dua bidang tersebut secara serentak. Latar belakang pendidikan, minat, bakat telah mendorong beliau untuk menghasilkan karya seni dalam pelbagai genre. Pencapaian ini disokong oleh bakat semula jadi yang dianugerahi kepadanya oleh Allah SWT. Karya-karyanya sama ada dalam bentuk puisi mahupun seni tampak; lukisan, sketsa, catan, arca terus menjadi tumpuan kajian dan wacana para sarjana dan pencinta seni dalam dan luar negara. Makalah ini akan menyoroti latar belakang dan tahap-tahap pembabitannya dalam kedua-dua bidang seni, iaitu sastera dan seni visual atau seni tampak.

Bagi Latiff, “garis” dihubungkan dengan tenaga penciptaan dalam pengertian yang lebih luas, bukan hanya menjadi penghubung antara dua titik. Bentuk sesuatu garis boleh menjelma sebebas-bebasnya tanpa mengandungi kiasan perbandingan dan makna mahupun simbol tertentu. Garis juga boleh bermaksud warna, ruang, ukuran, bayang-bayang, rentak, canggahan, imbangan, gambaran dan gaya pengucapan. Latiff banyak menyatakan kemungkinan-kemungkinan pengucapan seni mahupun kehidupan melalui kata-kata kiasan.

Dipetik daripada Tunas Cipta Disember 2015.

  • Share/Bookmark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *